Monday, December 20, 2010

Menunggu kedatangan Nabi Isa

Dikatakan Nabi Isa dinaikkan ke langit dan akan turun ke bumi pada akhir zaman ketika dunia dilitupi kezaliman, tetapi kawan saya menolak kepercayaan itu, kerana menurutnya kepercayaan itu dongeng dan tidak bersumberkan mana-mana dalil yang sahih dan layak dipercayai.

Apakah sebenarnya kedudukan Nabi Isa dalam akidah Islam? Apakah dalil-dalil yang menunjukkan baginda dinaikkan ke langit dan akan turun semula ke bumi pada akhir zaman? Bilakah baginda akan diturunkan? - BASHIR, Segambut, Kuala Lumpur.

Perlu difahami, kepercayaan terhadap Nabi Isa dinaikkan ke langit dan akan turun semula ke dunia pada akhir zaman bukan sesuatu yang boleh disifatkan dongeng atau khurafat. Sejauh yang pernah dibincangkan ulama tentang perkara ini, adalah termasuk antara masalah khilafiah yang belum ada kata putus padanya. Ini disebabkan ayat-ayat itu kurang jelas pada fahaman pembaca. Saya kemukakan di sini pendapat-pendapat dan ulasan sekitar isu itu. Saudara harus menilai sendiri pendapat-pendapat itu jika saudara mampu mengikutinya dengan baik.

Sebilangan besar kumpulan ahli sunah wal jamaah berpendapat, Nabi Isa diselamatkan oleh Allah daripada percubaan membunuh dan menggantungnya pada kayu palang yang dirancang oleh kaumnya, iaitu dengan mengangkat roh dan badannya ke langit dalam keadaan ia ditidurkan. Tafsiran yang merujuk kepada al-Quran, surah Nisa; ayat 157 ini didukung oleh ramai ahli tafsir.

Menurut mereka, pada suatu hari nanti sebelum berlaku kejadian kiamat, Nabi Isa akan diturunkan ke bumi, beliau akan memegang teraju pemerintahan dan memerintah negara dengan adil, membunuh Dajjal dan menghidupkan semula syariat Islam dan hukum-hukumnya yang ditinggalkan.

Antara hadis sahih yang membicarakan turunnya Nabi Isa pada akhir zaman ialah yang diriwayat oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Demi Allah yang diriku dalam kekuasaan-Nya. Sesungguhnya hampir tiba waktu turunnya Isa Ibn Maryam sebagai pemerintah yang adil ke atas kamu. Ia akan mematahkan palang salib, membunuh babi dan menghapuskan cukai kepala. Waktu itu, kekayaan harta melimpah ruah, sehingga tiada seorang pun yang mahu menerima pemberian sedekah.

Daripada hadis ini dan beberapa hadis yang lain lagi mereka dengan tegas menyatakan Nabi Isa akan turun ke bumi sebelum berlakunya kiamat, ia akan membunuh Dajjal dan khinzir, akan memerintah dunia dengan menegakkan keadilan berpandukan syariat Nabi Muhammad s.a.w. dan seterusnya meninggal dunia di bumi. Demikianlah ringkasan akidah sekumpulan ahli sunah wal jamaah tentang Nabi Isa pada akhir zaman.

Kita doakan semoga Allah segera menyempurnakan penurunan Nabi Isa untuk menegakkan keadilan dan membela umat Islam yang tertindas serta membunuh Dajjal yang lebih banyak mengganas terutama sejak akhir-akhir ini.

Sesetengah riwayat pula menyatakan Nabi Isa akan muncul di Fajj al-Rauha, iaitu suatu perkampungan yang terletak antara Mekah dan Madinah, beliau akan memakai ihram di situ untuk menunaikan umrah dan haji. Sumber-sumber lain pula menyatakan beliau muncul di Syam atau Baitulmaqdis di Palestin.

Setelah mengambil masa selama 40 tahun di dunia, beliau diwafat, disembahyang dan dikebumikan seperti kebanyakan manusia. Ini bermakna Nabi Isa tidak membawa syariat yang baru, kerana akidah Islam memutuskan tiada lagi nabi selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam al-Quran menyebut sebanyak tiga kali keterangan yang menyentuh pengangkatan Nabi Isa dan kewafatannya iaitu dalam surah Ali-Imran; ayat 55, surah al-Nisa; ayat 157-158 dan surah al-Ma'idah; ayat 117.

Ayat-ayat ini jelas menyatakan Nabi Isa tidak mati dibunuh dan tidak dipalang, tetapi diangkat dan dimatikannya. Persoalan yang berbangkit ialah, bagaimana dia diangkat ke langit dan bagaimana pula dia dimatikan dan seterusnya diturunkan ke bumi.

Berbagai-bagai ulasan dan tafsiran ulama terhadap perkataan naik dan wafat yang disebutkan dalam ayat-ayat itu. Ada yang menyatakan maksud naik ialah menaikkan jasad dan rohnya ke langit, ada juga yang menyatakan maksudnya menaikkan pangkat dan kedudukan martabatnya. Perkataan wafat juga diperselisihkan antara sama ada membawa maksud mati, tidur atau sempurna tempoh tinggalnya di bumi atau di langit. Dalam bahasa Arab, semua makna itu boleh dipakai.

Nabi Isa diturunkan semula ke bumi hanya berbangkit pada tafsiran yang menyatakan dia dinaikkan ke langit dengan roh dan jasadnya. Pada tafsiran yang menyatakan kenaikan itu hanya pangkat dan kedudukan, tidak timbul lagi isu naik dan turun semula ke bumi.

Lanjutan kepada perbezaan tafsiran itu, lahir dua pendapat yang berbeza dan sukar didamaikan. Malah lebih menyukarkan lagi apabila isu yang diperselisihkan itu menyentuh akidah yang memerlukan dalil yang qat'iyy bagi setiap ciri akidah yang perlu diputuskan.

Telah disebutkan terdahulu ahli sunah wal jamaah mempercayai Nabi Isa dinaikkan ke langit dengan roh dan badan kasarnya serta baginda akan turun ke bumi sebelum kiamat untuk menegakkan keadilan mengikut syariat Islam.

Selain al-Quran yang menyatakan, menurut tafsiran mereka, bahawa Isa dinaikkan ke langit dengan jasad dan roh, mereka memperkukuhkan lagi pendapat itu dengan beberapa hadis yang menurut Muhammad Anwar Shah al-Kashmiri dan al-Shaukani telah mencapai tahap mutawatir dan tidak perlu dipertikaikan lagi kekuatannya.

Pendapat Anwar Shah ini tentunya memenuhi keperluan hadis mutawatir atau qat'iyy sebagai dalil bagi isu-isu akidah, bahkan sekali gus memperkukuhkan lagi keyakinan penurunan Nabi Isa seperti yang dijelaskan terdahulu.

Sebahagian ulama termasuk Syeikh Mahmud Syaltut berpendapat dalil-dalil yang disebut bagi menunjukkan Nabi Isa dinaikkan ke langit belum cukup qat'iyy dan banyak sudut yang boleh dipertikaikan, sekali gus dalil-dalil itu tidak layak menjadi sandaran bagi perkara yang menyentuh akidah.

Justeru dalil-dalilnya tidak qat'iyy, tidak timbul lagi soal akidah terhadap turunnya Nabi Isa pada akhir zaman untuk membunuh Dajjal dan menegakkan keadilan mengikut syariat Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang dikatakan itu. Shaltut memberi beberapa jawapan balas:

1. Riwayat yang menunjukkan Nabi Isa turun ke bumi selepas kemunculan Dajjal tidak boleh dianggap sebagai kuat, kerana versi dan kandungannya berbeza-beza. Selain itu pula, riwayat Abu Hurairah itu bersumberkan Wahb Ibn Munabbih dan Kaab al-Ahbar. Kedua-dua tokoh ini merupakan ahli kitab dan bekas penganut agama Yahudi.

2. Hadis riwayat Abu Hurairah yang menjelaskan turunnya Nabi Isa itu bertaraf Ahad (bukan mutawatir). Ulama Islam sepakat menyatakan hadis Ahad tidak layak dijadikan sandaran bagi isu-isu yang membabitkan akidah dan perkara-perkara ghaib.

3. Pertemuan Nabi Muhammad s.a.w. pada malam mikraj dan Nabi Isa dan anak saudaranya Yahya di langit kedua tidak harus dijadikan dalil, kerana riwayat itu tidak cukup kuat, manakala pertemuan itu pula mungkin pertemuan antara roh, bukan antara badan kasar. (al-Fatawa, Beirut, 1971, ms. 67).

Pendapat Syeikh Shaltut ini dapat disimpulkan sebagai berikut:

Pertama: Tiada keterangan yang memuaskan, sama ada dalam al-Quran atau hadis menunjukkan Nabi Isa diangkat ke langit dengan roh dan jasadnya, beliau masih hidup dan akan turun ke bumi pada akhir zaman.

Kedua: Ayat-ayat yang membicarakan kewafatan Nabi Isa dan kemudian turun ke bumi tidak lebih daripada hanya janji Allah yang akan menamatkan tempoh ajalnya, mengangkatkan kedudukan dan martabatnya dan menyelamatkannya daripada ancaman kaum yang merancang untuk membunuhnya.

Janji ini telah terbukti kerana musuh-musuh tidak berjaya membunuh dan memalangnya, sebaliknya Allah menyempurnakan ajalnya dan mengangkat pangkat dan kedudukannya.

Ketiga: Bagi orang yang menolak kepercayaan Nabi Isa diangkat ke langit, Nabi Isa masih hidup hingga kini dan akan turun ke bumi pada akhir zaman, ia tidak boleh dianggap sebagai menolak akidah yang sabit menerusi dalil qat'iyy. Justeru itu ia tidak boleh disifatkan kufur atau terkeluar agama Islam.

Patut juga disebutkan di sini, kumpulan antihadis berminat sekali dengan pendapat Shaltut ini. Mereka menjadikannya sebagai modal untuk menolak hadis-hadis riwayat Bukhari dan Muslim secara lebih berani apabila Shaltut juga menolak hadis yang menyentuh tentang turunnya Isa. Tetapi seperti yang dikemukakan di atas, Shaltut hanya menolak hadis Ahad sebagai dalil utama bagi isu yang menyentuh akidah.

Saya lebih cenderung kepada pendapat ahli sunah wal jamaah, kerana pendapat ini menjadi pegangan jumhur ulama Islam sejak zaman sahabat lagi dan kemudiannya dituruti tabi'in.

Lagipun, akidah terhadap turunnya Nabi Isa pada akhir zaman bukan isu baru. Ia diketahui sejak pembukaan kitab-kitab hadis bermula. Ulama hadis termasuk Imam Bukhari dan lain-lain menerima baik jalan-jalan riwayatnya dan menjadikannya antara tanda-tanda kiamat tanpa bantahan. Jika perakuan mutawatir yang dibuat oleh Anwar Shah al-Kashmiri itu diterima, maka tiada apa lagi yang perlu dipertikaikan.



0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates